Aamiin Ya Rabbal Aalamiin
SAMBUT SUAMI DI MUKA PINTU
Assalamualaikum
Teman2 Sekalian
Istimewanya wanita ialah segala perbuatan dan setiap apa yang disentuh oleh
jari halusnya di dalam ruang lingkup rumahtangganya akan mendatangkan
pahala. Namun terdapat suatu perkara yang jarang sekali diambil perhatian
oleh kebanyakan wanita hari ini, iaitu perihal menyambut kepulangan suami.
Setiap kali suami pulang ke rumah suami memerlukan bantuan isterinya untuk
menghilangkan rasa letih, penat, lapar, dahaga dan lain-lain beban yang
sedang ditanggungnya. Oleh itu, isteri yang menyambut suami hendaklah pandai
memahami mood dan kehendak suami.
Sambutlah kepulangan suami dengan air muka gembira, dan dengan senyuman.
Tunjukkanlah wajah yang semanis mungkin dan senyuman yang kita berikan
ketika itu akan menghilangkan sebahagian daripada keletihan suami. Elakkan
daripada bersikap acuh tak acuh, bermasam muka ataupun melepaskan 'peluru
berpandu' bila suami terjongol di muka pintu. Sabda Rasulullah saw:
"Siapa sahaja seorang isteri bermuka muram di hadapan suaminya, maka ia
dalam kemurkaan Allah swt hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira
kepada suaminya dan memohon kerelaannya. "
Begitulah besarnya harga senyuman seorang isteri kepada suaminya. Senyuman
akan mencetuskan suasana kegembiraan dan itulah sebenarnya yang dikehendaki
oleh semua suami ketika pulang, terutamanya jika ia sedang dalam keletihan.
Muka yang masam bukan sahaja akan menimbulkan kemarahan suami, malahan
menyebabkan Allah swt turut murka. Kemurkaan Allah itu akan berkekalan
hingga isteri itu berjaya mengembalikan semula suasana gembira dan memohon
keampunan daripada suami. Kerana sesungguhnya keredhaan Allah itu terletak
pada keredhaan suami.
Bila suami pulang segeralah bukakan pintu. Persilakan masuk dengan penuh
hormat dan dengan kata-kata yang lemah lembut. Sambutlah tangan suami dan
ciumi ia sebagai tanda hormat serta meminta maaf, walaupun isteri merasakan
tidak berbuat sebarang kesalahan pada hari itu. Bukannya isteri yang
hulurkan tangan untuk dikucup oleh suami sepertimana yang dilakukan oleh
kebanyakan orang Barat hari ini.
Sebuah hadis ada menyebut bahawa apabila seorang suami bersalaman dengan
isterinya, maka gugurlah segala dosa dari sela-sela jari mereka berdua.
Begitulah Maha Pengampunnya Allah; dosa isteri gugur hanya dengan bersalaman
dengan suami. Oleh itu rebutlah peluang dalam sebarang kesempatan untuk
bersalaman dengan suami dan meminta maaf daripada suami. Tentunya tidak
terhad hanya ketika suami pulang daripada kerja sahaja; lazimkan perbuatan
ini ketika selepas solat jemaah, ketika hendak keluar dari rumah atau pun
setelah membuat sebarang kesilapan samada kecil atau besar; supaya sentiasa
mendapat keampunan Allah. Andaikata mempunyai anak-anak, ajarlah mereka itu
untuk selalu bersalaman dengan ayahnya. Kelaziman ini akan memupuk rasa
kasih dan hormat anak-anak kepada orang tua.
Jika suami pulang membawa buah tangan, sambutlah dengan ucapan terima kasih.
Jangan biarkan sampai barang itu lama di tangannya atau suami meletakkannya
sendiri di dapur. Ini tanda isteri tidak menghargai buah tangan yang dibawa
oleh suami.
Jangan pula bertanya soalan-soalan seperti 'kenapa tidak beli barang yang
dipesan?' dan seumpamanya. Soalan yang di tanya bertubi-tubi ketika suami
sedang penat hanya akan membosankan suami, malahan mungkin akan menimbulkan
kemarahannya.
Pernah disebut dalam riwayat, pada zaman Rasulullah, ada seorang wanita yang
bakal masuk syurga lebih dahulu daripada Siti Fatimah. Wanita itu begitu
taat serta sangat memuliakan suaminya. Dia menunggu kepulangan suaminya
dengan pakaian yang bersih serta mengghairahkan; disediakan tuala, air sejuk
dan sebatang rotan. Segala perbuatannya itu menjadi tanda tanya kepada Siti
Fatimah yang mengunjunginya. Lalu beliau bertanya untuk mengetahui di
sebalik perlakuan wanita itu.
Wanita itu pun berkata: "Aku bersiap-siap dan menyinsing kainku ialah supaya
mudah jika suamiku ingin menyampaikan hajatnya. Adapun tuala ini ialah untuk
mengesat peluhnya, air ini ialah untuk menghilangkan dahaganya dan rotan ini
ialah untuk dia menghukum aku jika aku membuat sebarang kesalahan."
Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budi pekerti isteri.
Biarpun seorang isteri itu tidak cantik tapi jika cukup sempurna layanannya
terhadap suami dan berakhlak pula, tentu ia akan menjadi penghibur dalam
rumahtangga.
Oleh itu wahai wanita-wanita atau para isteri-isteri hendaklah
berlumba-lumba untuk menjadi seorang isteri yang solehah, yang bertaqwa
berakhlak mulia dan taat kepada suami. InsyaAllah seorang isteri itu akan
disayangi oleh Allah, suami malah seluruh makhluk di dunia. Sabda Nabi:
"Sungguh-sungguh memintakan ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada
suaminya, iaitu burung-burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di
langit selama dia sentiasa dalam kerelaan suaminya."
Jika seorang isteri mengharap cintanya berbalas maka berbanyak-banyaklah
isteri itu mencari keredhaan Allah melalui suami.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 share with mummy:
Post a Comment