Aamiin Ya Rabbal Aalamiin

20 cara terbaik beristirehat


Sejak akhir-akhir ini adakah anda mengalami kesukaran untuk merehatkan badan di samping menenangkan fikiran?

Jika anda terlalu dibebani dengan pekerjaan, mengejar masa ataupun menghadapi masalah, adalah amat penting untuk anda berehat bagi memulihkan semula tenaga dan kekuatan anda yang semakin berkurangan itu. Jika dibiarkan tekanan atau bebanan itu berlarutan, keadaan ini boleh memudaratkan kesihatan anda.

Orang yang mendapat rehat yang secukupnya boleh berfungsi jauh lebih baik daripada mereka yang tidak berehat. Minda dan badan yang cergas bukan sahaja boleh membuatkan anda rasa sihat dan selesa malah boleh memberi anda tenaga untuk menjalankan tugasan harian.

Oleh itu, luangkan masa untuk berehat. Mulakan dengan memilih salah satu daripada 20 cara yang berikut:

- Membaca buku-buku yang berbentuk fiksyen serta buku-buku berunsur hiburan boleh menolong menenangkan fikiran.

- Mendengar lagu-lagu kegemaran anda. Biarkan muzik lunak yang berkumandang di sekeliling anda itu menjadi halwa telinga dan seterusnya membuatkan diri anda berasa tenang dan selesa.

- Menonton filem yang menarik di rumah ataupun pawagam, sama ada bersendirian atau berkumpulan boleh membantu.

- Adakan sesi karaoke bersama teman-teman anda dan menyanyilah ramai-ramai. Tetapi lakukan sesi ini pada waktu yang bersesuaian dan tidak mengganggu jiran tetangga anda!

- Bersenam merupakan salah satu cara yang baik untuk mengurangkan tekanan contohnya berjoging atau berlari.

- Menari juga adalah kaedah bersenam. Anda tidak perlu menjadi Ricky Martin untuk melakukannya.

- Anda tidak perlu membeli-belah. Cukup sekadar menjamu mata menyaksikan barangan yang dipamerkan, ia boleh memuaskan hati.

- Bersiar-siar di taman sambil menghirup udara yang segar dan menikmati keindahan alam semula jadi.

- Bersembahyang dan mendekati tuhan boleh memulihkan semangat dan memberikan ketenangan kepada anda.

- Menyertai chat di Internet untuk mendapatkan teman baru atau berbual dengan teman lama anda melalui telefon.

- Sesi gelak ketawa. Ajaklah teman-teman baik berkumpul untuk minum teh tarik misalnya, dan berkongsi kisah-kisah silam yang melucukan.

- Menulis surat kepada teman anda yang tidak mempunyai kemudahan Internet atau kepada teman yang sudah lama tidak anda hubungi. Berkomunikasi secara ini mungkin boleh membantu anda meluahkan perasaan dengan lebih terperinci berbanding menggunakan kaedah percakapan.

- Menyimpan diari. Menulis dikatakan satu cara terapi bagi orang yang sukar mengatakan apa sebenar yang mereka fikirkan. Mencatatkan apa yang berlaku kepada diri anda bukan sahaja dapat membantu anda mengenali diri malah dapat juga memastikan apa yang tersirat di hati dan minda anda.

- Bermain dengan binatang peliharaan anda. Jika tidak mempunyai binatang peliharaan, inilah masanya untuk anda mendapatkannya. Anda boleh memilih sebarang haiwan untuk dijadikan peliharaan, contohnya kucing, ikan, arnab, ular atau apa sahaja yang menjadi kesukaan asalkan ia tidak menyusahkan orang lain!

- Percutian di destinasi tertentu dapat memberikan ketenangan di samping anda berpeluang memulihkan tenaga. Anda akan lebih bermotivasi untuk memulakan tugas sekembalinya daripada percutian.

- Bercucuk tanam sama ada sayur-sayuran, buah-buahan atau bunga-bungaan. Anda pasti merasakan satu kepuasan apabila melihat tanaman bercambah dan membuahkan hasil.

- Memancing. Carilah satu tempat yang sunyi untuk melakukan aktiviti ini. Sama ada berteman atau tidak, ia terpulang kepada anda. Anda boleh memancing di tepi sungai, di laut atau kolam-kolam menangkap ikan komersial seperti yang terdapat di bandar-bandar besar. Tidak kira di mana anda dapat mencampakkan mata kail anda itu, pastikan ia tidak menyalahi undang-undang.

- Bermain dengan anak-anak. Anak adalah anugerah Tuhan dan kehadiran mereka mengingatkan kita bahawa hidup ini tidak hanya untuk bekerja.

- Tidur yang mencukupi adalah amat mustahak. Badan yang letih akan dipulihkan pada waktu kita tidur. Tidur seketika (nap) pada waktu tengah hari dapat juga membantu, itupun sekiranya anda berpeluang berbuat demikian!

- Memastikan keadaan mental dan fizikal yang mantap adalah tanggungjawab anda.

Jika rehat diperlukan pastikan ia benar-benar berlaku. Jika anda rasakan gaya rambut yang baru, diurut atau mencantikkan kuku tangan dan kaki anda boleh menenangkan, lakukannya!

2 share with mummy:

eLLy said...

thanks for the info mummy

Mummy Cool said...

no problem dear - apa yang mummy baca kita kongsi bersama ya :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...