Aamiin Ya Rabbal Aalamiin

CIRI CIRI ORANG MUNAFIK




Munafik merupakan satu kalimah yang tidak asing untuk
disebut dan didengar kita saban hari dan masa tetapi hakikat yang
sebenar tentangnya kadang-kadang masih samar dalam pemikiran
kita. Tidak dapat dinafikan bahawa sifat-sifat yang menjadi
pegangan golongan munafik kadang-kadang dihidapi oleh kita
samada dalam keadaan sedar atau pun tidak seperti suka menipu,
melanggar janji dan mengkhianati amanah yang
dipertanggungjawabkan ke atas bahu kita. Dalam memastikan diri
kita tidak terjerumus dalam lembah munafik maka wajar kita
renungi beberapa ciri-ciri golongan munafik sebagaimana
diberitahu oleh Allah dalam al-Quran dan juga rasulNya ke arah
menghindarkan diri kita daripada bersifat dengan sifat itu yang
boleh membahayakan aqidah dan diri kita terutama pada hari
akhirat nanti. Mengetahui perkara buruk bukan beerti kita mahu
menirunya tetapi bertujuan untuk menghindarinya sedaya yang
mungkin sebagaimana ungkapan imam al-Ghazali : Sesungguhnya
mengetahui perkara negatif itu bukan untuk mengikutinya sebagai
teladan tetapi bertujuan untuk menghindarinya dan dijadikan
sempadan.

Munafik ialah orang-orang yang berpura-pura keimanannya di
mana pada zahirnya nampak beriman dengan lidahnya mengakui
keesaan Allah dan kerasulan nabi Muhammad s.a.w sedangkan
pada hakikat batinnya yang sebenar penuh dengan kekufuran dan
kesesatan. Mereka menentang kebenaran dengan kebatilan,
menjual petunjuk membeli kesatan, memilih kufur menolak iman,
memperjuangkan bid'ah ganti daripada sunnah dan memilih azab
daripada nikmat.

Munafik terbahagi kepada 2 iaitu :

1. Munafik iktiqad iaiatu pegangan terhadap pokok persoalan iman bersikap dan bersifat nifaq atau penipuan maka golongan ini kekal dalam neraka, sekiranya mati tanpa bertaubat kepada Allah dan memperbetulkan semula iktiqadnya.

2. Munafiq amali iaitu amalan-amalan dalam ibadatnya bersifat nifaq atau penipuan seperti beramal kerana seseorang atau sesuatu selain Allah. Golongan ini melakukan dosa yang memerlukan agar bertaubat kepada Allah. Mereka akan dimasukkan ke syurga sesudah diazabkan dalam neraka.
Antara ciri-ciri munafiq

1. Berpenyakit hati
Maksud firman Allah dalam ayat 10 surah al-Baqarah yang
bermaksud : Dalam hati mereka ada penyakit. Maka Allah tambahkan lagi penyakit itu, kepada mereka dan mereka akan mendapat seksa yang pedih dengan sebab mereka berdusta terhadap kebenaran.

Antara penyakit hati yang disebutkan dalam ayat itu ialah
sebagaimana berikut :

a. Kebodohan diri sendiri di mana golongan munafik terlalu
yakin bahawa segala kerja jahat mereka tidak akan diketahui dan
disedari oleh orang mukmin sedangkan mereka lupa bahawa Allah
mengetahui segala-galanya.

b. Tidak berpendirian di mana mereka sentiasa merasa cemas
dan bimbang kepada suasana sekitar yang mana tetap akan
kembali kepada Islam dengan pertolongan Allah dan akan
terhapusnya kebatilan. Mereka sentiasa mencari jalan penghalang
agar kebenaran dapat dikaburkan dan dipandang serong.

c. Menentang kebenaran iaitu dengan menghalang dan
mengfitnah orang yang benar-benar berjuang di jalan Allah agar
segala kejahatan dan penipuan mereka selama ini dengan menjual
dan mencipta Islam palsu tidak terbongkar dan disedari oleh orang
ramai.

Benarlah firman Allah dalam ayat 64-65 surah at-Taubah
yang bermaksud : Orang-orang munafik itu takut jika diturunkan kepada mereka satu surah yang memberitahu apa yang (tersembunyi) di hati mereka. Katakanlah kepada orang-orang munafik itu : "Ejeklah lagi! sesungguhnya Allah akan melahirkan apa yang kamu takutkan itu". Dan jika engkau tanyakan kepada mereka tentu mereka akan menjawab: " Kami hanya bercakap- cakap dan bermain-main sahaja". Katakanlah :" Adakah Allah dan keterangan- keteranganNya serta rasulNya mahu kamu perolok- olokkan?.."

d. Berperasaan syak terhadap agama
Firman Allah dalam ayat 125 surah at-Taubah yang
bermaksud : Dan adapun orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka, (hanyalah) menambah kekotoran bersama kekotoran mereka (yang sedia ada) dan mereka mati dalam keadaan kufur.
Mereka sentiasa berperasaan syak terhadap kemampuan sistem
Islam dalam menjamin kemajuan dan keadilan sepanjang zaman,
syak tentang keamanan dan kestabilan jika pelaksaan hukum Islam
dijalankan.

2. Melakukan kebinasaan di muka bumi

Firman Allah dalam ayat 11-12 surah al-Baqarah yang
bermaksud : Dan apabila dikatakan kepada mereka itu, janganlah kamu membuat kebinasaan (kemungkaran) di muka bumi mereka menjawab : "Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebajikan (untuk kepentingan manusia). Ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka ialah sebenar-benar orang membuat kebinasaan (kemungkaran) tetapi mereka tidak menyedarinya.

Golongan ini sentiasa merancang dan berusaha ke arah
menjauhkan umat manusia daripada Islam yang menjamin
keamanan sejagat melalui media massa, mendapat bantuan
daripada kuffar termasuk yahudi dalam menghadapi kebangkitan
gerakan Islam dan menggadaikan agama dengan menghinanya
sehingga menakutkan orang belum Islam sehingga wujudnya
suasana yang tegang dan takut kepada Islam. Mereka lebih
gembira melihat keadaan yang penuh kekeliruan dan kekecohan
daripada melihat bangkitnya Islam dengan kebenarannya.

3. Menuduh orang mukmin dengan bodoh dan tolol

Firman Allah dalam ayat 13 surah al-Baqarah yang bermaksud :
Dan tatkala dikatakan kepada mereka, berimanlah kamu sebagaimana orang ramai beriman. Jawab mereka : " Adakah patut kami beriman sebagaimana telah beriman orang-orang bodoh dan tolol itu?". Ketahuilah sesungguhnya merekalah orang-orang yang benar-benar bodoh dan tolol tetapi mereka tidak mengetahuinya.
Mereka sanggup menghina ulama' yang lebih arif tentang Islam
dan sanggup hina nabi s.a.w dan Islam itu sendiri kerana merasai
bahawa mereka lebih cerdik dan pakar dalam bab agama dan
keduniaan. Mereka berusaha menjadikan para mufti, qadhi dan
ulama' sebagai orang yang patuh dan taat pada kejahilan mereka
demi menjaga pangkat dan kedudukan mereka. Agama hanya
digunakan untuk menangkis dan menyembunyikan penipuan
mereka terhadap Islam. Mereka lebih rela meminta nasihat
daripada orang kafir dan anti-hadis daripada menerima teguran
daripada ulama' akhirat.

4. Kuat permusuhan dan bongkak dengan dosa

Firman Allah dalam ayat 204-206 surah al-Baqarah yang
bermaksud : Dan diantara manusia itu, ada setengahnya yang menyebabkan engkau tertarik hati kepada percakapan mereka (yang lunak dan menarik) semasa hidup di dunia. Dan dia bersumpah (dengan nama Allah bahawa segala yang dikatakan itu adalah benar) kepada Allah akan apa yang di dalam hatinya sedangkan dia sebenarnya orang yang paling kuat permusuhannya terhadapmu. Dan apabila ia berpaling (apabila mendapat hajatnya) berusahalah dia di muka bumi Allah untuk melakukan kerosakan dan kebinasaan, dirosakkannya tanaman dan ternakan dan Allah tidak menyukai kerosakan dan kebinasaan itu. Dan apabila dikatakan kepadanya : " Bertaqwalah kepada Allah". Maka timbullah kesombongannya dengan meneruskan melakukan dosa. Maka cukuplah neraka jahannam sebagai balasannya dan demi sesungguhnya neraka jahannam itu seburuk-buruk tempat balasan.

Ayat ini menunjukan bagaimana buruknya perangai orang
munafik dan petahnya mereka bercakap sehingga ramai orang
beriman tertarik dengan tutur katanya yang lembut, ucapan yang
menarik dan penuh hujah aqli yang mengelirukan malah mereka
sanggup bersumpah bagi menyatakan ketulusun hati mereka
sedangkan mereka berniat jahat dan melakukan semua itu untuk
memperolehi sesuatu yang diidamkan.
Mereka sanggup mencipta Islam dan meletakkan mereka yang mampu memutar belit tentang
Islam sebagai perisai sehingga mengelirukan rakyat untuk
mendapatkan sokongan. Setelah mereka mendapat sokongan hasil
propaganda yang menggadai prinsip Islam yang sebenar maka

mereka menggunakan kuasa yang telah diperolehi itu untuk
mengaut kekayaan negara untuk mereka dan kroni mereka dan
juga menyekat kemaraan gerakan Islam dengan meng'gam' ulama',
membuang imam yang tidak menyokong kezaliman dan kesesatan
mereka, mengawal peranan masjid yang sebenar dan sebagainya.

Inilah antara ciri-ciri munafik yang jelas berlaku dalam
masyarakat kita pada hari ini. Peranan kita ialah berusaha
menghindarinya daripada diri kita, keluarga dan masyarakat
setempat seterusnya negara dengan berusaha memberi penjelasan
yang sebaik mungkin agar umat Islam tidak tertipu buat sekian
kalinya. Sesugguhnya seorang mukmin itu tidak akan terjatuh ke
dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.

sumber: yahoogroups

0 share with mummy:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...