Aamiin Ya Rabbal Aalamiin

Kasih Sayang semangat hijrah.....



MUHARAM adalah bulan pertama dalam kalendar Islam. Setiap kali kemunculannya, ia bukan sahaja disambut sebagai permulaan tahun baru tetapi juga sebagai azam baru bagi orang Islam untuk memperbaiki kedudukan, memperbaharui tekad dan merenung kembali apa yang telah diusahakan selama ini.

Umat Islam di Malaysia tidak terkecuali untuk menyambut ketibaannya. Ketibaan Muharam pada tahun ini akan disambut dengan doa awal tahun dan diikuti dengan bacaan yasin dan tahlil.

Hari pertama bulan Muharam kali ini disambut pada 7 Disember 2010, iatu pada hari Selasa. Ini juga bermakna, peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah dalam usaha menegakkan syiar Islam telah berlaku selama 1,432 tahun lamanya.

Penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah perlu dilihat sebagai satu bentuk perancangan strategik jangka panjang dalam usaha menegakkan agama Islam sehingga menjadi salah satu agama terbesar dan berpengaruh hingga kini.

Penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah adalah berpunca dari penentangan kaum Quraisy terhadap sebuah agama yang lebih sempurna dan mencabar amalan tradisi yang diamalkan sejak sekian lama.

Pemilihan kota Madinah sebagai destinasi baru penyebaran Islam mempunyai kaitan dengan situasi yang lebih mesra dan penerimaan masyarakat. Situasi sedemikian merupakan suatu faktor penting dalam penyebaran agama Islam ataupun melaksanakan apa-apa perancangan dalam setiap urusan.

Dengan persekitaran yang kondusif, Islam diterima secara meluas sebagai satu bentuk kehidupan baru manakala mereka yang tidak memeluk Islam terus kekal dengan agama masing-masing. Mereka hidup dalam suasana aman dan damai. Antara kaum saling bekerjasama dan memahami akan peranan masing-masing.

Perkembangan yang berlaku dalam senario sosio-politik negara perlu menjadi teladan dan iktibar yang boleh membantu memperkukuhkan kedudukan umat Islam. Pada masa sekarang, umat Islam di Malaysia, meskipun merupakan hampir 60 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dan menjadi penganut majoriti, persoalan sosio-politik sesama Islam masih tidak menggambarkan sebuah perpaduan yang kuat dan mapan.

Akibat sengketa ingin mendapatkan kuasa, umat Islam telah berpecah sekurang-kurangnya kepada tiga kelompok. Kelompok pertama ialah yang taksub dengan ikon agama dan sentiasa menjadikan agama sebagai modal politik.

Kelompok kedua ialah mereka yang melihat agama sebagai suatu dasar perjuangan tetapi melakukan perancangan lebih berstrategik bagi mengelakkan setiap tindakan yang diambil boleh menjejaskan imej Islam.

Kelompok yang ketiga ialah mereka yang hanya sekadar dilahirkan sebagai penganut Islam, tetapi tindakan dan amalannya tidak menggambarkan sifat sebagai orang Islam sejati.

Kelompok ketiga ini merupakan mereka yang hampir tercabut akar agama dan sering memuja bentuk budaya yang dikembangkan melalui penjajahan budaya, pencerobohan minda dan penerobosan fahaman-fahaman baru seperti liberalisme, keindividuan, simplistik dan hak asasi sehingga menampakkan peranannya sebagai khalifah Allah SWT sepanjang hayatnya menjadi semakin kecil dan kerdil. Fikiran dan seluruh kehidupannya hanya tertumpu kepada pencapaian peribadi, keunggulan kelompok dan kemewahan material.

Bagi kelompok pertama, kerana terlalu memikirkan bahawa Islam adalah agama yang sempurna dan lengkap, maka usaha mereka adalah untuk kembali kepada konsep kehidupan yang asal, sebagaimana dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Mereka tidak lagi memikirkan bahawa ada sesetengah keadaan, apa yang berlaku dan dihadapi masyarakat masa kini tidak lagi mempunyai persamaan dengan masa yang dilalui oleh Rasulullah SAW.

Mereka tidak berusaha memecahkan persoalan dengan berfikir kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah, sebaliknya menggunakan kaedah yang terlalu simplistik dan menghukum.

Cara penyelesaian sedemikianlah membentuk imej buruk kepada Islam sehingga dipandang sebagai golongan fundamentalis, konservatif dan taksub. Bermula dari tanggapan tersebut, ia membawa kesan yang meluas sehingga menjadikan Islam itu sebagai sesuatu yang menakutkan atau fobia.

Ia turut memberikan ruang pertuduhan yang lebih besar bahawa setiap apa yang berlaku, terutamanya yang berbentuk negatif mempunyai kaitan dengan Islam. Faktor keagamaan telah menjadi sasaran kemunduran, keganasan, kebencian dan konflik antara kelompok.

Persoalan politik juga menarik perhatian kerana ada pihak yang sanggup “menghalalkan” apa sahaja tindakan asalkan boleh memberikan sedikit kelebihan. Misalnya, ada pihak yang sanggup membenarkan bukan Islam memetik dan berucap menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk mempengaruhi umat Islam kepada kehendak politiknya.

Ayat-ayat al-Quran dipetik secara bebas dan ditafsirkan berdasarkan konteks dan pemahaman tertentu, tidak merujuk kepada latar belakang sesuatu ayat itu diturunkan. Setiap ayat yang diturunkan, adalah wahyu dan mempunyai konteksnya yang jelas, maka mengutipnya secara bebas dan di luar konteks merupakan satu bentuk penyelewengan.

Dalam konteks hubungan bernegara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengemukakan gagasan kesederhanaan dalam setiap tindakan. Kesederhanaan dalam membuat ulasan dan pandangan akan membolehkan setiap yang mendengarnya boleh memahami secara jelas.

Kesederhanaan juga menyebabkan minda masyarakat boleh menerima pandangan dan pendapat orang lain. Daripada pandangan dan pendapat orang lain itulah akan membantu seseorang itu melihat sesuatu perkara secara lebih terbuka dan bermanfaat untuk kesejahteraan manusia secara keseluruhan.

Sikap sesetengah kelompok yang menaja pandangan dan ulasan yang berbeza bakal mengundang konflik yang berpanjangan, misalnya antara pelbagai mazhab dalam perkara-perkara khilaf dan bukan asas. Sememangnya, prinsip asas Islam adalah sama, mempunyai satu arah iaitu Keesaan Allah SWT, lima tonggak keyakinan dan enam Rukun Iman.

Kesemua prinsip itu membawa umat Islam ke satu bentuk masyarakat yang bersatu padu dan kuat sebelum berlakunya penentangan dari dalam setelah kewafatan Rasullullah SAW.

Ketibaan Muharam pada tahun ini perlu diberikan iltizam baru, agar setiap umat Islam kembali kepada prinsip kesederhanaan. Bagi bukan Islam perlu juga melihat bagaimana Mahatma Ghandi, seorang nasionalis memilih untuk tidak menggunakan kekerasan sepanjang usahanya memerdekakan India.

Kembali kepada prinsip pemufakaat politik dan sosial yang dirintis oleh pemimpin terdahulu bukan bermakna kembali melihat kepada zaman ideal. Meneliti fakta sejarah bahawa antara tiga kaum saling bertolak ansur, menerima dan mengakui hak setiap kaum adalah prinsip yang jelas tidak melanggar konsep kehidupan bermasyarakat dalam Islam.

Kembali memahami bagaimana Rasulullah SAW melakarkan sebuah masyarakat madani melalui Piagam Madinah adalah sesuatu yang boleh kita jadikan iktibar, kerana sejarah akan terus mengulangi kesilapan manusia, kecualilah bagi mereka yang benar-benar berfikir dan mahu menggunakan akalnya.

Dengan semangat baru, semangat yang diteladankan melalui penghijrahan Nabi Muhammad SAW lebih seribu empat ratus tahun lalu, Islam akan muncul sebagai agama yang kuat dan dihormati oleh lain-lain penganut.

Syaratnya mudah, setiap umat Islam perlu menjadikan semangat hijrah itu sebagai titik perubahan. Berubah menjadi sebuah bentuk masyarakat yang menyanjung tinggi semangat toleransi, menghormati orang lain (bukan menjadi pengikut buta), berusaha dengan gigih mencapai kejayaan dalam setiap lapangan dan menggunakan akal yang sihat mencipta tamadun baru.

Itulah sebenarnya apa yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman, orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Baqarah: 218)

Tentunya prinsip yang paling asas sekali dalam kehidupan ialah kasih sayang. Maka dalam semangat hijrah ini, setiap umat Islam perlu membina jambatan kasih sayang, dengan meletakkan kasih sayang kepada Allah SWT sebagai tempat yang tertinggi dan kasih sayang sesama manusia sebagai slogan tunggal dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, bernegara dan berhubung antara satu sama lain.

Sempena tahun baru Hijrah 1432 ini, kita harus berusaha melawan hawa nafsu yang cenderung mengajak manusia ke arah melakukan perkara-perkara kejahatan dan penyeleweng yang terkeluar daripada lunas-lunas syariat. Kita tanamkan azam baru untuk mengamalkan secara bersungguh-sungguh perintah Allah seperti yang ditunjukkan oleh baginda supaya amalan agama subur dalam diri umat Islam.

Hijrah daripada sifat jahil kepada sifat kecerdikan dan kepandaian dari sikap jumud tertutup kepada sikap bertolerensi dan berlapang dada. Ini semua merupakan maksud dan tuntutan hijrah dalam Islam. Maka hijrah daripada satu amalan yang tidak diredai Allah kepada suatu amalan yang dikehendaki-Nya adalah termasuk dalam maksud hijrah yang sebenar.

Suasana harmoni dan berkasih sayang, bekerjasama antara kita semua perlu dikekalkan malah dipertingkatkan lagi jangan pula ada mereka yang cuba memutarbelitkan hakikat ini, kerana ia selaras dengan ajaran dan tujuan hijrah yang kita sambut dan hayati ini

sumber: Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir...

Pejam celik pejam celik, Hijrah dah masuk yg ke-1432 dah....
Selamat Menyambut Maal Hijrah Kepada Rakan2 Blogger yang diingati..
Bersama-sama kita menghayati erti Hijrah yang sebenar...
Semoga tahun baru akan lebih diberkati oleh Allah SWT dan menjadi lebih baik dari tahun2 yg sebelumnya..
Semoga kalian diberkati, dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki
AMEEN~

0 share with mummy:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...