Aamiin Ya Rabbal Aalamiin

Hadis-hadis Tanda Awal Kiamat Untuk Peringatan dan Pengajaran


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Berikut ini dikumpulkan sebahagian daripada hadis-hadis Nabi SAW tanda-tanda awal kiamat serta peristiwa-peristiwa yang akan berlaku di akhir zaman. Lihatlah betapa semua ramalan oleh Nabi Muhammad SAW sudah pun berlaku terutamanya ramalan tentang peristiwa akhir zaman dan tanda-tanda kecil kiamat. Yang ditunggu-tunggu sekarang hanya lah tanda-tanda besar kiamat sahaja.

Sebelum itu sebagai peringatan bersama, jangan jadikan panduan ini untuk melihat keburukan pada orang lain sahaja, itu adalah berburuk sangka kepada orang. Tetapi jadikan lah panduan ini untuk muhasabah diri, dengan melihat ke dalam diri kita sendiri . Ini kerana biasanya manusia hanya pandai dan nampak kesalahan dan keburukan orang lain, sedangkan keburukan diri sendiri hanya dipandang sebelah mata saja, na’uzubillah.

Adakah kita sudah betul-betul melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan mengelakkan dari apa yang dilarang-Nya? Dan apakah kita sudah tidak termasuk dalam senarai mereka-mereka yang disebut dalam hadis-hadis berikut ini?

Semoga kita menjadi orang yang betul-betul beriman dan sentiasa bertaubat kepadaNya sebelum pintu taubat ditutup. Semoga menjadi pengiktibaran bersama, insya Allah.

Sahabat yang dimuliakan,

Firman Allah SWT maksudnya : “Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: 'Bilakah terjadinya?” Katakanlah: 'Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba'. Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: 'Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui'.” (Surah Al A’raaf ayat 187)

Tanda-tanda awal kiamat (alamat kecil) :

1. Seorang Ammah Melahirkan Majikannya dan Pengembala Kambing Berlumba-lumba Mendirikan Bangunan Tinggi.

Daripada Abu Hurairah r.a. ia berkata; suatu ketika Rasulullah SAW. nampak di tengah-tengah orang ramai. Lalu baginda didatangi oleh seseorang yang menanyakan kepadanya: “Wahai Rasulullah SAW bilakah terjadinya kiamat?” Nabi SAW menjawab dengan bersabda: “Tidaklah orang yang ditanya mengenai masalah itu lebih mengetahui daripada yang bertanya. Akan tetapi aku akan memberitahukan kepadamu tentang tanda-tandanya. Iaitu, jika seorang ammah (hamba perempuan) melahirkan majikannya, itulah yang termasuk di antara tanda-tandanya. Juga apabila orang-orang yang tidak beralas kaki dan tidak berpakaian menjadi pemimpin masyarakat, maka itu juga di antara tanda-tandanya. Demikian pula apabila para pengembala kambing (domba) berlumba-lumba meninggikan bangunan, maka itulah salah satu tandanya di antara tanda-tanda yang lima, yang mana tidak mengetahui yang sesungguhnya selain Allah SWT.” Kemudian baginda membacakan ayat berikut ini: “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahajalah pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dia-lah yang menurunkan hujan, serta mengetahui apa yang ada di dalam rahim” (Hadis Riwayat Ibn Majah).

2. Perhiasan Rumah Sama Dengan Perhiasan Pakaian.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Hari kiamat tidak akan tiba, sehingga manusia membangun rumah dan melukisnya sebagai lukisan pakaian." (Hadis Riwayat Bukhari)

3. Kebanggaan Masyarakat Dengan Membina Masjid.

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Tidak akan tiba hari kiamat, sehingga manusia bermegah-megah dan berlebih-lebihan dalam urusan masjid". (Hadis Riwayat Abu Dawud)

4. Masjid Menjadi Tempat Urusan Dunia Sahaja.

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Akan datang kepada manusia suatu masa, percakapan mereka dalam masjid hanyalah mengenai urusan dunia semata. Allah tidak memerlukan mereka. Dan janganlah kamu duduk bersama mereka (pada waktu dalam masjid."(Hadis Riwayat Hakim).

5. Ahli Ibadah Yang Bodoh Dan Qari (ulama) Yang Fasik.

Daripada Anas r.a. ia berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Kelak, di akhir zaman, akan ada ahli ibadah yang bodoh dan para qari yang fasik"

(Hadis Riwayat Ibnu ‘Adi).

6. Golongan yang menjadikan lidahnya sebagai alat untuk mencari makan.

Daripada Sa’ad bin Abi Waqash r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Tidak akan terjadi kiamat, sebelum muncul suatu golongan yang mencari makan melalui lidah-lidah mereka, seperti sapi yang makan dengan lidah-lidahnya."

(Hadis Riwayat Ahmad).

7. Melimpahnya Harta Benda Dan Luasnya Perniagaan Serta Banyak Media Massa.

Dari Umar bin Tsa’lab r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sebahagian dari tanda-tanda dekatnya hari kiamat, adalah tersebarnya (melimpahnya) harta benda dan luasnya perniagaan. Dan pena-pena akan bermunculan yang menunjukkan banyaknya bacaan dan tulisan. (Hadis Riwayat An-Nasae’i).

8. Ramai Orang Muda Menyebut Dalil Agama.

Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : “Akan muncul di akhir zaman nanti, suatu kaum yang terdiri dari orang-orang muda yang masih mentah fikirannya (cetek faham agamanya). Mereka banyak mengucapkan perkataan Khairil Bariyah (firman Allah dan hadis Rasul), tetapi iman mereka masih lemah. Pada hakikatnya mereka telah keluar agama seperti anak panah yang lepas dari busurnya. Di mana sahaja kamu dapat menemuinya, maka hapuskanlah mereka itu, siapa yang dapat menghapus mereka, kelak akan mendapat pahala di hari kiamat." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Al-Quran Sebagai Alat Propaganda.

Ali bin Thalib k.wj. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Kelak akan muncul di antara umatku suatu kaum yang membaca al-Quran bukan seperti lazimnya kamu membaca, dan sembahyangmu jauh berbeza dengan cara mereka bersembahyang. Mereka membaca al-Quran dengan mengira bahawa al-Quran itu sebagai alat propaganda mereka, padahal al-Quran itu berisi peringatan yang harus mereka junjung. Bacaan mereka itu tidak melebihi kerongkongnya (tidak sampai meresap ke dalam hati). Mereka itu sebenarnya keluar dari Islam, bagaikan anak panah yang lepas dari busurnya."(Hadis Riwayat Muslim)

10. Menunjuk-Nunjuk Ketika Berdoa.

Dari Saad r.a. bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Kelak akan terdapat kaum yang berlebih-lebih (menunjuk-nunjuk) dalam berdoa." (Hadis Riwayat Ahmad).

11. Merasa Rendah Dalam Ibadah.

Dari Abu Sa’id Al-Kudri r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Akan muncul di antara kamu suatu kaum, kamu merasa rendah dalam melakukan solat dibanding dengan mereka, amal perbuatanmu jika dibandingkan dengan perbuatan mereka dan puasa-mu jika dibanding dengan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak sampai melalui tenggoroknya. Mereka sebenarnya keluar dari agama bagaikan anak panah yang terlepas dari busurnya, jika di hujung panah dilihat, tidak ada bekas apa-apanya juga di kayunya tidak ada apa-apanya juga di bulunya tidak terdapat apa-apa, tetapi berlumba-lumba dalam senarnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

12. Imam Yang Melambatkan Waktu Solat.

Dari Ibnu Ame r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya nanti selepas peninggalanku akan terjadi; para imam mengakhirkan solat dari waktunya. Oleh kerana itu hendaklah kamu mengerjakan solat tepat pada waktunya. Jika kamu datang bersama mereka untuk mengerjakan solat, maka bersolatlah kamu."

(Hadis Riwayat Thabrani).

13. Al-Quran Hanya Tinggal Tulisannya Sahaja.

Dari Ali k.wj. bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Hampir datang suatu zaman, di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja, dan dari al-Quran hanya tinggal huruf dan tulisannya sahaja. Masjid-masjid indah dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk. Ulama mereka adalah yang paling jahat di antaranya yang ada di bawah langit. Dari mereka (ulama) itu akan muncul berbagai-bagai fitnah dan fitnah itu akan kembali ke lingkungan mereka sendiri (umat Islam)" (Hadis Riwayat Baihaqi).

14. Kaum Yang Meminum Ayat-Ayat Al-Quran.

Dari Uqbah bin Amir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Kelak akan muncul suatu kaum dari umatku. Mereka meminum al-Quran seperti meminum susu."

(Hadis Riwayat Thabran.).

15. Ulat-ulat Qurra’.

Dari Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : Kelak pada akhir zaman akan ada ulat-ulat qurra’ (ahli baca Al-Quran). Barangsiapa yang berada pada masa itu, hendaklah ia berlindung kepada Allah dari mereka;- (Riwayat Abu Nu’aim).

16. Serbuan Musuh Islam Terhadap Kaum Muslimin.

Daripada Tsauban r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.”

Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati”. (Hadis Riwayat Abu Daud )

17. Orang Mukmin Lebih Hina Daripada Haiwan.

Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Akan datang atas manusia suatu masa, di mana keadaan orang mukmin pada masa itu lebih hina daripada domba” (Hadis Riwayat Ibnu Asakir).

18. Ulama Yang Merugikan Umat Dan Agama.

Abdullah bin Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya akan terdapat (akan ada) orang-orang dari umatku yang pandai (amat faham dan ahli) tentang urusan agama dan membaca al-Quran, mereka berkata:“Kami datang kepada para Raja (pemimpin), biar kami memperolehi keduniaan mereka dan kami tidak akan mencampurkan mereka dengan agama kami.” Tidak terjadi hal yang demikian itu, seperti (umpamanya) tidak akan dapat dipungut dari pohon yang berduri melainkan duri. Demikian pula, tidak akan dapat diambil manfaat dari mendekatkan diri kepada mereka itu melainkan beberapa kesalahan belaka. (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

19. Menggadaikan Agama Kerana Dunia.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah SWT. berfirman kepada mereka: “Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim ( cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)” (Hadis Riwayat Tirmidzi).

20. Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang.

Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Bahawasanya Allah SWT. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

21. Penduduk Mekkah Akan Meninggalkan Kota Mekkah.

Umar r.a berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : ” Kelak penduduk Mekkah akan keluar meninggalkan Mekkah; kemudian yang meninggalkan itu tidak akan kembali lagi kecuali hanya sebahagian kecil sahaja. Kemudian yang sedikit itu menjadikan kota itu penuh bangunan. Kemudian mereka keluar lagi dari kota itu dan tidak kembali selamanya." (Hadis Riwayat Ahmad).

22. Banyak Berbicara Tanpa Berfikir Dahulu.

Daripada Abu Umamah r.a. bahawa Nabi SAW. bersabda maksudnya : "Kelak akan ada orang-orang dari Umatku (Islam) memakan berbagai macam makanan dan memakai berbagai pakaian, banyak berbicara tanpa difikirkan dahulu apa sebetulnya yang dibicarakan itu, maka itulah seburuk-buruk manusia dari sebahagian Umatku (Islam)

(Hadis Riwayat Thabrani dan Abu Nu’aim).

23. Umat Islam Mengikuti Langkah-Langkah Yahudi Dan Nasrani

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi SAW. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”

(Hadis Riwayat Muslim).

24. Terlepasnya Islam Satu Demi Satu

Dari Umamah Al-Bahili dari Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Sungguh akan terlepas pegangan Islam satu demi satu. Setiap terlepas salah satu pegangan, maka orang-orang akan berebutan untuk bergantung kepada yang lain. Adapun yang pertama kali terlepas itu adalah persoalan hukum, sedangkan yang terakhir adalah perkara solat.”(Hadis Riwayat Ahmad).

25. Penyakit Umat-umat Dahulu

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar RasuIullah SAW bersabda maksudnya : “Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi SAW. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalimi”

(Hadis Riwayat Hakim).

26. Sifat Amanah Akan Hilang Sedikit Demi Sedikit.

Daripada Huzaifah bin AI-Yaman r.a. katanya, “Rasulullah SAW. pernah memberitahu kami dua 2 buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat sedang yang kedua saya menanti-nantikannya. Rasulullah SAW. memberitahu bahawasanya amanat itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan al-Quran dan mengetahuinya melalui panduan as-Sunnah. Selanjutnya Rasulullah SAW. menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, Ialu beliau bersabda maksudnya : "Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (menggelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gillingkan dengan kaki mu, kemudian menggelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa”. Ketika Rasulullah SAW. menceritakan hadis ini baginda mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) Ialu menggilingkannya dengan kakinya.”Kemudian berpagi-pagi (jadiIah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada ada seorang juga pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan, “Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi.” “Maka sesungguhnya telah sampai masanya saya pun tidak mempedulikan manakah di antara kamu semua yang saya hendak bermubaya’ah (berjual beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamanya lah yang akan mengembalikan kepada ku (maksudnya agamanya lah yang dapat menahannya dari khianat). Dan jikalau ia seorang Nasrani atau Yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang akan menggembalikannya kepada ku (maksudnya jika dia seorang Nasrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan / pemerintahlah yang dapat membantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak ku daripadanya.) Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu sahaja)”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

27. Tahun-tahun yang penuh tipu muslihat.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercaya orang yang berkhianat, dan akan dituduh berkhianat orang yang terpercaya. Serta akan bertutur padanya Ruwaibidhah. Maka ada yang menanyakan: Apa itu Ruwaibidhah? Dijawab baginda s.a.w. : Iaitu, orang yang bodoh dan hina ditugaskan menangani kepentingan umum.

(Hadis Riwayat Ibn Majah)

28. Dajjal Sang Pendusta

Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan terjadi hari kiamat sebelum dimunculkan para dajjal sang pendusta, yang jumlahnya hampir mendekati tiga puluhan, di mana masing-masing mengaku; bahawa dirinya adalah Rasul Allah.”(Hadis Riwayat Muslim).

Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Akan keluar dajjal dan khazzab di kalangan umatku. Mereka akan berkata sesuatu yang baru di mana kamu dan bapa-bapa kamu belum pernah mendengarnya. Awasilah mereka dan jagalah diri kamu daripada disesatkan oleh mereka.””(Hadis Riwayat Ahmad, 20/349)

Abu Hurairah r.a. berkata, “Nabi s.a.w. bersabda, : “Qiamat tidak akan tiba sehingga muncul 30 dajjal, semua mengaku sebagai utusan Allah, harta bertambah, berlaku huru-hara dan al-Harj berleluasa.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah harj?” Baginda bersabda, “ Bunuh-membunuh.””( Hadis Riwayat Ahmad, 2/457)

29. Golongan Pendusta Di Bidang Hadis.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Kelak akan ada di antara generasi akhir dari umatku orang-orang yang meriwayatkan kepada kamu hadis yang belum pernah – juga bapa-bapa kamu – mendengarnya. Untuk itu, hindarilah mereka.”(Hadis Riwayat Muslim).

30. Orang yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam

Daripada Ibn Abbas r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Akan ada di akhir zaman nanti orang-orang yang mengecat rambut mereka dengan warna hitam, seperti tembolok burung merpati, dan mereka tidak akan mencium baunya syurga."

(Hadis Riwayat Abu Dawud)

Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita hayati maksud hadis-hadis di atas dan cuba kita lihat dan perhatikan adakah peristiwa-peristiwa yang dinyatakan Nabi SAW telah berlaku dizaman kita sekarang?. Yang pasti sebahagian besarnya sudah berlaku sekarang ini . Oleh itu kita perlu sentiasa persiapkan diri kita dengan amal Islam dan sentiasa mentaati Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Hendaklah kita sentiasa memperbaiki dan mempertingkatkan akhlak yang baik dan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah

sumber: Ustaz Basyer

2 share with mummy:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...