Aamiin Ya Rabbal Aalamiin

BODOH itu baik?


Kenyataan seperti itu pasti akan menaikkan kening mak ayah yang mendengarnya. Saya tertarik dengan rahsia awet muda Chow Yun Fatt, pelakon Hong Kong yang berjaya menembusi pasaran Hollywood. Menurutnya, kalau mahu sentiasa muda dan berjaya dalam hidup - "act dumb" (jadi bodoh). Tetapi, maksud jadi bodoh itu bukanlah menjadi bengap, bahlul atau lembam secara literal. Apabila seseorang itu 'bodoh' maka dia tidak akan membebankan otak dengan memikirkan hal-hal yang tidak perlu. Oleh sebab kepala sudah 'ringan', maka diri pun akan tidak berasa tertekan dan terbeban. Secara saintifik, tidak dinafikan, tekanan boleh menjejaskan kecantikan wajah.

Kita pun sedia maklum orang yang 'berat otak' memikirkan 'apa orang akan kata' dan 'apa orang fikir saya perlu kata' memberikan 'bagasi tambahan' (exercise baggage) kepada otak.

Kadangkala, kita ada juga mendengar ekspresi 'bodoh sombong' untuk menandakan perbuatan seseorang yang malu bertanya dan tidak peduli jika dia sesat jalan kerana perbuatannya malu untuk bertanya. Bukan sesuatu yang asing dalam sistem pendidikan yang berasaskan konsep kuno-'suap dek cikgu dan tadah dek murid' di negara ini yakni kelas menjadi senyap dan sunyi apabila soalan seperti "Ada apa-apa soalan ?" diajukan.

Seorang pensyarah dari Turki yang saya kenal pernah memberi komen bahawa pelajar di sini rajin tetapi lesu! Rajin membaca, mengingat, dan menyalin-memang hebat sampai berkajang-kajang yang disalinnya. Tetapi, malas berfikir, berdebat dan bercakap. Takut kepada siapa? Takut dikatakan bodoh atau takut menerima hakikat bahawa sebagai pelajar yang bodoh dan kita memang perlu bersuara ? Jika ada sesuatu yang tidak baik berlaku, tidak ramai yang suka menyuarakan pendapat berbeza, memberi idea-idea menjana perubahan, kerana sesuatu yang berbeza itu kadangkala ditakuti entah kenapa.

Tetapi persoalannya mengapakah kita perlu biarkan diri diperbodohkan ? Jika sesuatu sistem itu bodoh tetapi kita tidak lakukan apa-apa bukanlah kita yang menjadi lebih bodoh ?

Era sekarang sudah jauh berubah. Apabila kita menerjah ke dunia yang diwarnai teknologi maklumat pula, kebodohan juga perlu menjadi isu yang penting. Bagaimana? Mudah saja. Zaman sekarang maklumat atau informasi itu boleh kita dapati dengan mudah jika kita menerokai dan melayari internet. Hatta autoriti kes mahkamah juga boleh didapati dengan mudah tanpa perlu bersengkang mata membaca terlalu banyak buku. Pokoknya, maklumat mudah didapati dan diterima. Oleh itu, kaedah penting yang harus diingat sekarang ini ialah bagaimanakah menguruskan apa-apa yang kita ketahui (information management).

Justeru itu, kebodohan itu perlu. Bukannya untuk menjadi seorang jahiliah atau seorang yang 'selesa' dengan senario ledakan maklumat. Tetapi untuk menjadi seorang yang selektif. Yang penting adalah fokus. Hal ini bermakna, kita perlu menjadi selektif dalam menyira dan menapis aliran maklumat yang ada. Ambil yang perlu, yang membantu dan eksploit sebaik-baiknya. Tidak perlu 'tahu' jika pengetahuan itu tidak begitu menguntungkan kerana dalam era ledakan, maklumat yang ada melimpah ruah sehingga yang tidak begitu perlu tetapi 'menarik' seperti pornografi juga timbul sekali. Oleh itu, baik kita 'buat bodoh' sahaja.

Kadangkala, jika kita teliti, seseorang yang sudah 'habis modal' apabila bertelagah dalam sesuatu isu akan mula mencari ruang menembak pesonaliti pihak lawannya. Seorang kawan saya mengeluh kerana tidak dapat menyampaikan pendapatnya apabila kawannya mula memberi komen seperti hujah awak tidak bernas kerana awak tidak melihat diri awak itu siapa, awak itu tidak layak memberi komen. Jawapan saya kepada kawan saya itu mudah, sebenarnya jika hal ini berlaku kita hanya katakan kepada pihak lawan, "Adakah hujah saya begitu jitu dan bernas sehingga awak terpaksa mengacu dan menyerang personaliti saya dan bukan hujah yang dibawa? Sudah habis modal untuk berhujah pendapat?" Pasti pihak lawan akan tergamam kerana itu bukan jawapan konvensional.

Kadangkala, kita perlu mematikan hujah yang bagi saya 'bodoh dan tidak perlu' dengan 'berbuat bodoh' terhadap komen sebegitu. Kita juga perlu bertindak defensif kerana jika perlu provokasi juga boleh mengunci hujah. Secara analogi, kita perlu yakin dengan diri sendiri. Oleh itu, walau apa pun yang dikatakan kita tetap berdiri teguh dan maju. Kita boleh membodohkan diri tentang apa-apa yang tidak perlu. Tetapi sudah tentu sesekali sahaja kerana kita tidak rugi akhirnya.

sumber:yahoogroups

0 share with mummy:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...